My MRI Pelvic with Contrast

Hari ini aku akan menjalani prosedur MRI Pelvic with contrast di HPUPM bagi memeriksa dengan lebih lanjut keadaan kesihatanku. Berdebar menanti hari ini. Temujanji ini diawalkan 1 minggu kerana ada sesi kosong kerana dibatalkan oleh pesakit lain.

Seawal 8 pagi telah sampai di HPUPM. Terus ke Klinik Radiologi dan meletakkan borang di tempat yang disediakan. Tidak lama kemudian namaku dipanggil dan di bawa ke ruang MRI. Aku dipasangkan branula untuk tujuan dimasukkan contrast nanti. Seperti biasa peritnya dimasukkan branula tersebut. Tidak lama setelah itu dalam pukul 9 pagi, namaku dipanggil untuk ke bilik MRI. Disebabkan aku telah bersedia memakai pakaian yang bersesuaian, aku tidak lagi perlu menukar kepada pakaian hospital yang diberikan. Pesakit yang perlu jalani MRI mestilah tidak memakai atau tidak boleh ada unsur besi pada badan mereka kerana mesin MRI menggunakan medan magnet yang sangat kuat. Aku cuma perlu menyimpan barang di dalam loker yang disediakan sahaja. Perlu menunggu sekejap kerana masih ada seorang pesakit tengah jalani MRI. 

Tidak lama selepas itu aku dipanggil untuk MRI. Aku perlu menukar facemask yang baru kerana yang aku pakai terdapat besi di dalamnya. Aku diminta baring mengikut keselesaan di atas platform MRI. Kaki menghala ke mesin MRI. 3 orang staf sibuk membuat persiapan untuk ku. Pada mulanya pelapik kaki yang besar diletakkan di bawah lutut. Kemudian ditukar kerana kaki ku perlu diluruskan untuk prosedur ini. Hanya pelapik kecil diletakkan di bahagian pergelangan kaki sahaja. Di atas badan ku diletakkan pelapik flat dan diletakkan dua strap bagi meminimumkan pergerakan ku nanti. Aku diminta memegang butang kecemasan di tangan kananku dan mereka minta aku mencubanya. Aku dipakaikan earplug dan headphone. Aku diselimutkan dan platform dinaikkan dan aku dimasukkan ke dalam mesin MRI. Seorang staf lelaki thumbs up menyatakan aku sudah bersedia berlepas untuk jalani MRI. Tidak lama kemudian, aku dikeluarkan semula untuk mengubah sedikit kedudukan. 

Aku dimasukkan semula setelah mereka berpuas hati dengan kedudukanku dan bermulalah MRI. Memang agak sempit di dalam mesin tersebut seperti yang aku dengar dan baca. Tapi bagi aku agak selesa dan tidak terlalu menakutkan. Sepanjang MRI, aku diperdengarkan alunan zikir. Pelbagai bunyi seolah-olah ketukan yang berlainan bagi setiap pusingan sepanjang proses MRI didengari. Setiap pusingan aku anggarkan dalam 5 minit. Lebih dari 15 pusingan yang aku jalani. Setiap pusingan aku dapat rasakan rasa hangat pada bahagian yang di scan. Pada mulanya, aku tidak menutup mata semasa MRI. Setelah lama, aku mulai rasa letih dan cuba menutup mata. Aku rasakan apabila menutup mata, pernafasan ku lebih terkawal. Sepanjang MRI aku cuba mengawal pernafasan ku bagi mengelakkan pergerakan berlebihan yang menyebabkan tempoh MRI lebih lama. 

Di pertengahan MRI, aku dikeluarkan semula untuk dimasukkan contrast. 2 syringe 10ml contrast dimasukkan di dalam badanku. Tiada apa-apa aku rasakan semasa contrast dimasukkan. Staf lelaki tadi mengatakan sudah hampir siap MRI. Tapi lama juga prosesnya selepas aku dimasukkan semula. 5 ke 8 pusingan rasanya juga dengan kedudukan platform diubah sedikit ke luar. Rehat antara setiap pusingan juga agak lama. Mungkin ada perbincangan antara staf MRI. 

Akhirnya MRI ku telah selesai. Aku dikeluarkan dari mesin MRI. Satu persatu peralatan disimpan. Semasa ingin bangun terasa lemah dan berat badanku untuk bangun dan berjalan. Aku diminta untuk jalani ultrasound semula kerana tidak nampak jelas melalui MRI. Branula masih belum dicabut. Aku dibawa oleh staf ke bilik ultrasound. Semasa menunggu, aku lihat pukul 11 pagi. Ya Allah hampir 2 jam aku di dalam bilik MRI. Lamanya.. 

Aku dipanggil untuk ultrasound. Dua orang Dr datang untuk ultrasound. Mereka melihat ultrasound untuk mengenalpasti masalah yang aku adukan. Kemudian datang Dr pakar, Dr. Hasyma, KJ Radiologi. Dr mengatakan mungkin ada cystic lesion. Aku perlu menunggu 1 bulan lagi untuk temujanji dengan pakar Urogynae O&G pada 4 April nanti. Harapnya ada keputusan yang pasti dan rawatan untuk masalah yang ku hadapi ini. Sudah hampir 1 tahun mengganggu ku. Alhamdulillah pukul 12 tengah hari semuanya selesai urusan ku di HPUPM.



VAKSINASI COVID-19

Pelbagai ranjau telah ku lalui dalam perjuangan mendapatkan vaksinasi Covid-19. Pelbagai usaha telah ku lakukan. Namun takdir telah menetapkan sesuatu yang terbaik untukku. 

Saat mendapat temujanji vaksinasi Covid-19, aku sedang diuji dengan Covid-19. Dengan lemah dan kecewa, membatalkan temujanji tersebut. Moga ada sinarnya nanti. 

Setelah sembuh dari Covid-19, aku meneruskan usaha ku apabila KKM mengumumkan bekas pesakit covid-19 disarankan untuk mendapatkan vaksin bagi kategori 1 & 2. Alhamdulillah segala usaha dan doa ku terjawab. 

Mendapat temujanji vaksinasi Covid-19 di HPUPM. Segalanya berjalan begitu pantas dan lancar. Dos pertama pada 16 Julai 2021. Kesan sampingan yang aku hadapi sakit pada lengan selama 3 hari. Dos kedua pada 6 Ogos 2021. Sedikit terasa semasa dimasukkan jarum dan vaksin. Sakit pada lengan berkurang setelah mengambil paracetamol seperti yang disarankan Dr. Namun, sakit kepala pula selama 3 hari.

Abah juga telah mendapat vaksinasi Covid-19 lebih awal 3 hari dari temujanji vaksin ku. Alhamdulillah.

Moga dengan izin Allah, vaksinasi Covid-19 dapat melindungi diriku dari Covid-19 dan keterukan sekiranya dijangkiti. Juga supaya dapat melindungi orang sekeliling yang ku sayangi dari menjangkiti mereka. InsyaAllah.








EPILOG COVID-19

Covid-19.. tidak terjangkau fikiran ku aku akan dijangkiti olehnya. Tapi memandangkan berada di Selangor, risiko untuk dijangkiti adalah sangat tinggi. Sudah cukup berhati-hati dan berjaga-jaga apabila keluar. Namun apa kan daya.

Apabila hilang deria bau, terus terdetik aku telah dijangkiti Covid-19. Salah satu simptom utama Covid-19. Bagi ku, ia terdapat perbezaan yang aku boleh rasakan. Batuk yang aku alami hanya ringan sahaja. Hidung tersumbat, tapi tidak teratasi walau dengan ubat. Denyutan jantung menjadi sedikit laju dan cepat mengah. Deria bau sekejap hilang, sekejap kembali namun kurang peka seperti waktu sihat.

Berada jauh dari keluarga dan berseorangan di sini, aku tetap harus kuat. Demi keluarga ku, demi diriku. Menguruskan diri sendiri dengan tenang. Mohon ketenangan dan kekuatan dari Allah. Bersama titipan doa dari keluarga dan kenalan. 

Alhamdulillah aku dapat melaluinya dengan sebaik mungkin dan kembali sihat setelah menjalani kuarantin selama 11 hari. Pelbagai pengalaman suka duka yang tak mungkin ku lupakan. Berharap inilah kali pertama dan yang terakhir aku melalui ini semua. Segeralah berakhir Covid-19.