KUARANTIN HARI 7 @ PKRC MAEPS

Inilah hari keempat aku berada di PKRC MAEPS. Namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2 seperti semalam. Kemudian perlu jumpa ambil darah semula dan jumpa Dr. Hari ini proses untuk ambil darah mengambil masa sedikit lama. Darahku diambil 1 tiub sahaja hari ini. Semasa berjumpa dengan Dr., aku bertanya mengenai keputusan ujian darah yang sebelumnya. Dr memaklumkan CRP value, iaitu nilai keradangan atau infection masih tinggi, iaitu 17.1. Oleh sebab itu perlu mengambil darah semula hari ini. Melalui pembacaanku, CRP value perlu kurang dari 10. Di sini, sekiranya CRP value meningkat pesakit perlu menjalani x-ray bagi menilai jangkitan pada paru-paru. Risaunya hati ini mendengarnya. 

Selesai berjumpa Dr. lebih lewat dari dua hari yang lepas. Terus makan tengah hari dan rehat. 

Petangnya, namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2 seperti biasa. Namaku dipanggil 3 kali sehari untuk mengambil ubat batuk seperti telah dipreskripsi oleh Dr untuk 7 hari.

Antara ruang cahaya luar yang dapat dilihat dari dalam Hall D1






KUARANTIN HARI 6 @ PKRC MAEPS

Inilah hari ketiga aku berada di PKRC MAEPS. Namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2 seperti semalam. Kemudian perlu jumpa Dr. Dr. bertanya keadaan kesihatan ku. Hari ini semua selesai lebih awal dari semalam. 

Abang Omel selamat dikebumikan lebih kurang 1 tengah hari bersama iringan hujan. Semoga diberi ketabahan untuk keluarga Abang Omel.

Petangnya, namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2 seperti semalam juga. Namaku dipanggil 3 kali sehari untuk mengambil ubat batuk kerana telah dipreskripsi oleh Dr untuk 7 hari.

KUARANTIN HARI 5 @ PKRC MAEPS

Inilah hari kedua aku berada di PKRC MAEPS. 

Mendapat perkhabaran sahabat dan teman sepejabatku telah meninggal dunia pada pukul 2.45 pagi. Innalillahiwainnailaihirajiun. Takziah buat keluarganya. Kembalinya Fairul Azri Abdul Karim yang lebih manja dipanggil Abang Omel kepada Illahi setelah beberapa hari berjuang melawan Covid-19. Sedihnya hati hanya Allah yang tahu. Kiriman doa dan bacaan Yaasin yang mampu ku hadiahkan buat sahabatku ini.

Dalam pukul 10 pagi, namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2. Kemudian perlu ambil darah dan jumpa doktor. Agak lama perlu menunggu giliran untuk mengambil darah dan berjumpa Dr. Sesudah Zohor baru selesai semuanya dan barulah dapat makan tengah hari.


Petangnya, namaku dipanggil untuk pemeriksaan tekanan darah dan SPO2. Sebelah malam pula, sekali lagi nama dipanggil untuk mengambil ubat batuk kerana keadaanku masih batuk lagi.

Mendapat temujanji vaksinasi yang telah lama aku harapkan dan nantikan. Temujanji di Hospital Serdang pada 2 Julai hasil dari permintaanku kepada Dr. semasa follow up 14hb Jun yang lalu. Namun, apakan daya terpaksa batalkan. Sedih dan kecewa sekali. InsyaAllah ada rezeki yang terbaik selepas ini. Mungkin ada hikmah yang Allah aturkan untukku.

Bersama teman-teman seperjuangan Covid-19 berbual riang bagi menceriakan diri masing-masing. Juga mengubati kekecewaan terpaksa batalkan temujanji vaksin.




KUARANTIN HARI 4

Sesudah subuh aku bergerak ke CAC Stadium Malawati. Sampai di sana dalam pukul 7.30 pagi. Sudah ada orang lain yang sampai di sana. Menunggu di bawah khemah yang disediakan. Staf CAC memberikan taklimat. Aku berbaris di antara yang terawal. Di situ terdapat dua situasi, yang datang untuk potong gelang kuarantin kerana kuarantin di rumah dan yang datang untuk penilaian. Bagi yang ada sesak nafas, diminta datang ke bahagian hadapan khemah untuk penilaian segera. Semua pesakit perlu membawa beg dan keperluan bersama. 

Pukul 9 pagi baru bermula. Sementara menunggu, perlu mengisi di Apps Selangkah untuk CAC Stadium Malawati. Sekiranya perlu kuarantin di pusat kuarantin, perlu beratur untuk masuk ke CAC. Masuk ke dalam CAC, perlu daftar di Mass Staging Area untuk memeriksa maklumat diri, masalah kesihatan dan keputusan swab test. Diberikan nombor untuk bas, A3 untukku. 

Dalam pukul 1 tengah hari, semua yang akan ke PKRC MAEPS Bas A dibawa keluar dewan untuk menaiki bas. Masing-masing kepenatan membawa beg dan batuk-batuk. Aku juga. 

Dalam pukul 3.30 petang bas kami sampai di PKRC MAEPS. Masuk ke Mass Staging Area di situ untuk pendaftaran. Satu kertas sticker yang tertulis nama dan perlu dilekatkan di belakang telefon bimbit masing-masing. Beg ditletakkan di ruang yang disediakan dan perlu pergi ke ruang pemeriksaan kesihatan. Tekanan darah dan SPO2 diperiksa. Juga maklumat rekod masalah kesihatan juga diambil. Kemudian namaku dipanggil untuk ultrasound paru-paru. Alhamdulillah Dr. kata paru-paru aku dalam keadaan baik. 

Dalam pukul 5.30 petang namaku dipanggil untuk ke menaiki tram ke dewan lain. Semasa di atas tram, berkenalan dengan Kak Su. Aku, Kak Su dan yang lain ditempatkan di Hall D1, di mana bangunan yang terdapat Perdana University. Perlu daftar untuk kemasukan wad dan dipakaikan gelang baru. Disebabkan masalah kesihatan OSA, aku ditempatkan di Acute Bay. Di sini biasanya pesakit yang kurang stabil ditempatkan, antaranya yang perlu drip dan oksigen. Tidak seperti pesakit-pesakit yang lain, mereka ditempatkan di wad. Ada dua wad, Wad Exora dan Wad Airiz. Pada masa itu, hanya ada satu katil sahaja yang kosong di Acute Bay, katil yang paling hadapan sekali. Itulah tempat untuk aku tidur dan berehat sepanjang berada di sini. Terasing dari pesakit-pesakit yang lain. Kemudian perlu jumpa doktor di Kaunter 6 untuk maklumat kesihatan diambil. Selesai semuanya setelah pukul 10 malam.

Berada di Acute Bay, perlu bersabar kerana suasana yang bising dan cerah sehingga lewat malam dan agak sejuk. Sampai lewat malam masih lagi ada yang baru masuk ke situ. 


Pemandangan di sekitar Acute Bay

Gelang Kuarantin PKRC MAEPS

Mendapat mesej daripada KKM. Profil Mysejahtera sudah bertukar.



Bermulalah kehidupan kuarantin di PKRC MAEPS. Semoga aku baik-baik sahaja sepanjang di sini. 

KUARANTIN HARI 3

Keadaan kesihatanku masih sama. Pada hari kedua kuarantin juga. Sedikit batuk, hidung tersumbat dan hilang deria bau. Deria rasa masih ada.

Tengah hari menelefon mak. Tengah bercakap dengan mak, satu mesej masuk. Ya Allah, keputusan swab test telah keluar. Aku positif Covid-19. Terus memberitahu mak keputusan tersebut saat itu juga. Aku perlu ke CAC Stadium Melawati esoknya.

Terasa seperti satu bebanan menghempap kepala ku saat membaca mesej tersebut. Positif Covid-19. Namun, aku telah redha walau apa jua keputusan yang akan keluar. Doaku sentiasa moga Allah tenangkan dan redhakan hatiku. Alhamdulillah segala barang telah siap kemas dan aku tak perlu terburu-buru lagi untuk mengemas. Bersedia untuk ke CAC dan pusat kuarantin sahaja.

Kemudian, aku memaklumkan kepada majikanku berkenaan keadaanku. Mereka sangat memahami dan sentiasa menyokong serta memberi semangat kepadaku. Dan memintaku untuk lupakan urusan kerja buat sementara waktu dan fokus kepada kesihatanku. Juga memaklumkan kepada keluargaku yang lain dan saudara mara yang terdekat. Juga beritahu teman serumahku, Aini dan Aye.

Syukur alhamdulillah aku tidak ke pejabat sekarang ini. Kontak rapat hanyalah teman serumah sahaja. 



OSA & COVID-19


 Kredit : KanWork: Bual Bicara KanWork : Pengalaman Positif Covid-19

SWAB TEST & KUARANTIN HARI 1

Sampai ke klinik dan menunggu di Ruang Isolasi Covid-19 dengan penuh debaran. Tidak lama selepas itu, keluar sepasukan staf klinik lengkap memakai PPE dan membawa peralatan. Satu-satu nama dipanggil. Ramai antaranya adalah kontak rapat aku kira. Namaku dipanggil untuk mengambil pek sampel dan perlu beratur menunggu giliran swab test (RT-PCR). Selesai swab test, perlu beratur pula untuk memakai gelang kuarantin. 

Keputusan swab test akan dimaklumkan sama ada melalui panggilan telefon, mesej atau MySejahtera. Sekiranya keputusan negatif, perlu ke PKD Petaling setelah tamat kuarantin untuk memotong gelang. Sekiranya positif, perlu ke CAC Stadium Malawati, Shah Alam untuk penilaian. 



Sampai di rumah, teman sepejabat memaklumkan Abang Omel (teman sepejabat dan yang juga anak jiran sebelahku) akan ditidurkan disebabkan oksigen tidak sampai ke paru-paru. Dia positif Covid-19 pada 15 Jun. Allahuakbar. Semoga dia dapat cepat pulih dan sembuh. Ibunya dan dua orang anaknya juga positif Covid-19.

Kemudian aku memaklumkan kepada tempat kerja bahawa aku perlu kuarantin dari 25 Jun sehingga 4 Julai. Juga kepada teman serumahku, Aini. Teman sepejabatku, Wani menelefonku dan bertanya keadaanku. Dia baru juga sembuh dari Covid-19. Dia memaklumkan berkemungkinan aku positif Covid-19. Aku juga berfikir begitu. Dia menasihatkanku supaya bertenang dan mula mengemaskan pakaian untuk keperluan kuarantin di Pusat Kuarantin Risiko Rendah MAEPS (PKRC MAEPS) jika perlu. 

Beberapa tips dan keperluan yang Wani berikan padaku. Minum air kelapa tanpa gula dan ais bagi menguatkan imuniti badan. Dapatkan Vitamin C tanpa gula dan Listerine. Juga Clorox untuk bersihkan tandas dan kawasan yang aku pegang disebabkan aku berkongsi tandas dan ruang rumah bersama teman serumahku. Tengah mengemas, aku cepat penat dan denyutan nadi tinggi. Berehat sekejap dan sambung semula kemudiannya.