Sesudah subuh aku bergerak ke CAC Stadium Malawati. Sampai di sana dalam pukul 7.30 pagi. Sudah ada orang lain yang sampai di sana. Menunggu di bawah khemah yang disediakan. Staf CAC memberikan taklimat. Aku berbaris di antara yang terawal. Di situ terdapat dua situasi, yang datang untuk potong gelang kuarantin kerana kuarantin di rumah dan yang datang untuk penilaian. Bagi yang ada sesak nafas, diminta datang ke bahagian hadapan khemah untuk penilaian segera. Semua pesakit perlu membawa beg dan keperluan bersama.
Pukul 9 pagi baru bermula. Sementara menunggu, perlu mengisi di Apps Selangkah untuk CAC Stadium Malawati. Sekiranya perlu kuarantin di pusat kuarantin, perlu beratur untuk masuk ke CAC. Masuk ke dalam CAC, perlu daftar di Mass Staging Area untuk memeriksa maklumat diri, masalah kesihatan dan keputusan swab test. Diberikan nombor untuk bas, A3 untukku.
Dalam pukul 1 tengah hari, semua yang akan ke PKRC MAEPS Bas A dibawa keluar dewan untuk menaiki bas. Masing-masing kepenatan membawa beg dan batuk-batuk. Aku juga.
Dalam pukul 3.30 petang bas kami sampai di PKRC MAEPS. Masuk ke Mass Staging Area di situ untuk pendaftaran. Satu kertas sticker yang tertulis nama dan perlu dilekatkan di belakang telefon bimbit masing-masing. Beg ditletakkan di ruang yang disediakan dan perlu pergi ke ruang pemeriksaan kesihatan. Tekanan darah dan SPO2 diperiksa. Juga maklumat rekod masalah kesihatan juga diambil. Kemudian namaku dipanggil untuk ultrasound paru-paru. Alhamdulillah Dr. kata paru-paru aku dalam keadaan baik.
Dalam pukul 5.30 petang namaku dipanggil untuk ke menaiki tram ke dewan lain. Semasa di atas tram, berkenalan dengan Kak Su. Aku, Kak Su dan yang lain ditempatkan di Hall D1, di mana bangunan yang terdapat Perdana University. Perlu daftar untuk kemasukan wad dan dipakaikan gelang baru. Disebabkan masalah kesihatan OSA, aku ditempatkan di Acute Bay. Di sini biasanya pesakit yang kurang stabil ditempatkan, antaranya yang perlu drip dan oksigen. Tidak seperti pesakit-pesakit yang lain, mereka ditempatkan di wad. Ada dua wad, Wad Exora dan Wad Airiz. Pada masa itu, hanya ada satu katil sahaja yang kosong di Acute Bay, katil yang paling hadapan sekali. Itulah tempat untuk aku tidur dan berehat sepanjang berada di sini. Terasing dari pesakit-pesakit yang lain. Kemudian perlu jumpa doktor di Kaunter 6 untuk maklumat kesihatan diambil. Selesai semuanya setelah pukul 10 malam.
Berada di Acute Bay, perlu bersabar kerana suasana yang bising dan cerah sehingga lewat malam dan agak sejuk. Sampai lewat malam masih lagi ada yang baru masuk ke situ.







No comments:
Post a Comment