Sampai ke klinik dan menunggu di Ruang Isolasi Covid-19 dengan penuh debaran. Tidak lama selepas itu, keluar sepasukan staf klinik lengkap memakai PPE dan membawa peralatan. Satu-satu nama dipanggil. Ramai antaranya adalah kontak rapat aku kira. Namaku dipanggil untuk mengambil pek sampel dan perlu beratur menunggu giliran swab test (RT-PCR). Selesai swab test, perlu beratur pula untuk memakai gelang kuarantin.
Keputusan swab test akan dimaklumkan sama ada melalui panggilan telefon, mesej atau MySejahtera. Sekiranya keputusan negatif, perlu ke PKD Petaling setelah tamat kuarantin untuk memotong gelang. Sekiranya positif, perlu ke CAC Stadium Malawati, Shah Alam untuk penilaian.
Kemudian aku memaklumkan kepada tempat kerja bahawa aku perlu kuarantin dari 25 Jun sehingga 4 Julai. Juga kepada teman serumahku, Aini. Teman sepejabatku, Wani menelefonku dan bertanya keadaanku. Dia baru juga sembuh dari Covid-19. Dia memaklumkan berkemungkinan aku positif Covid-19. Aku juga berfikir begitu. Dia menasihatkanku supaya bertenang dan mula mengemaskan pakaian untuk keperluan kuarantin di Pusat Kuarantin Risiko Rendah MAEPS (PKRC MAEPS) jika perlu.
Beberapa tips dan keperluan yang Wani berikan padaku. Minum air kelapa tanpa gula dan ais bagi menguatkan imuniti badan. Dapatkan Vitamin C tanpa gula dan Listerine. Juga Clorox untuk bersihkan tandas dan kawasan yang aku pegang disebabkan aku berkongsi tandas dan ruang rumah bersama teman serumahku. Tengah mengemas, aku cepat penat dan denyutan nadi tinggi. Berehat sekejap dan sambung semula kemudiannya.


No comments:
Post a Comment