Seawal pagi aku cuba menelefon Klinik Kesihatan Seri Kembangan bagi bertanya mengenai swab test. Panggilanku dijawab dan staf klinik menyuruhku untuk datang terus ke sana.
Terus lemah kakiku setelah meletakkan panggilan tersebut. Rasa seolah-olah belum sarapan. Padahal aku baru sahaja selesai sarapan pagi. Denyutan nadiku terasa agak laju. Aku terus bersiap-siap ke klinik.
Sampai di klinik, aku terus ke Ruang Isolasi Covid-19 yang disediakan. Rupa-rupanya, aku perlu berjumpa Dr. dahulu untuk diperiksa dan memastikan keperluan untuk swab test di kabin. Aku memaklumkan kepada staf klinik bahawa aku ingin membuat swab test dan memberitahu simptom-simptom yang aku ada. Tekanan darah, denyutan nadi dan kadar oksigen dalam badan (SPO2) diperiksa. Normal semuanya, kecuali denyutan nadi. Ternyata denyutan nadiku agak tinggi. Berdebar mungkin. Kemudian aku berjumpa Dr. Dr. bertanya simptom, masalah kesihatan dan memeriksa nadi. Masih tinggi denyutan nadiku. Aku dikategori risiko tinggi kerana mempunyai Obstructive Sleep Apnea (OSA) dan berlebihan berat badan. Dr. menyatakan aku perlu datang membuat swab test keesokan harinya pada pukul 10.00 pagi.
No comments:
Post a Comment